Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT kerana agenda Festival Sains Teknologi & Inovasi Selangor 2010 (FesSTIS'10) dapat diteruskan buat kali kedua pada tahun ini. Pencapaian yang diperolehi pada tahun 2009 iaitu kali pertama festival ini diadakan amat memberangsangkan untuk saya meneruskan perjuangan pada tahun ini.
Festival Sains Teknologi & Inovasi Selangor (FesSTIS) kembali lagi. Kini FesSTIS menawarkan aktiviti dan program-program menarik sepanjang 2010. Nantikan kedatangannya pada 11 hingga 13 Jun 2010 di Kompleks PKNS Shah Alam.
Anugerah Inovasi Cemerlang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Induk Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor (STANDCO STI) adalah bertujuan untuk mengiktiraf dan menggalakkan masyarakat yang terdiri daripada saintis, ahli akademik, penyelidik, profesional, pelajar dan masyarakat umum untuk menjadi lebih kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Disamping itu ia juga diharapkan dapat memberi panduan kepada pengkomersilan produk penyelidikan diperingkat tempatan dan antarabangsa.
Di dalam persekitaran ekonomi hari ini, inovasi dan pengkomersilan penyelidikan dan pembangunan (R&D) adalah faktor utama menjana pertumbuhan ekonomi, kejayaan dan mengawal persaingan di dalam pasaran global.
Pameran ini dianjurkan bertujuan mengumpulkan peneraju utama industri, kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Institusi Kajian (RI) dan Keusahawanan (SME) bergabung dan mempamerkan produk dan hasil sains & teknologi mereka untuk berkongsi dengan masyarakat umum secara lebih dekat.
Pameran ini akan diadakan selama tiga(3) hari bermula pada 11, 12 dan 13 Jun 2010, (10 pagi hingga 8 malam) bertempat di Kompleks Shah Alam.